Latihan Formatif 5.2 – Fizik Tingkatan 4 (KSSM) Bab 5


Soalan 1:
Apakah maksud pelembapan?

Jawapan:
Pelembapan adalah situasi pengurangan amplitud bagi suatu sistem yang berayun apabila kehilangan tenaga dalam bentuk haba.

Soalan 2:
Lakarkan graf sesaran melawan masa bagi suatu sistem yang mengalami pelembapan.

Jawapan:



Soalan 3:
Nyatakan tiga contoh kesan resonans terhadap kehidupan manusia.

Jawapan:
Resonans berlaku apabila suatu sistem ayunan dikenakan daya luar yang mempunyai frekuensi yang sama dengan frekuensi asli sistem ayunan tersebut.

Kesan resonans terhadap kehidupan manusia:

1. Resonans digunakan dalam penalaan peralatan muzik.

2. Resonans digunakan dalam litar talaan radio untuk memilih stesen.


3. Mesin basuh bergetar secara galak pada suatu laju tertentu. Ini kerana resonans berlaku apabila frekuensi bagi suatu bahagian berputar sama dengan frekuensi jati mesin basuh.

4. Pada tahun 1940, Jambatan Gantung Tacoma Narrows di Washington, Amerika Syarikat runtuh disebabkan tiupan angin kuat yang menyebabkan jambatan itu berayun secara resonans dengan amplitud yang besar.

5. London Millennium Footbridge dibuka pada bulan Jun 2000. Jambatan itu mengalami ayunan di luar jangkaan apabila seramai 2000 orang pejalan kaki berjalan di atas jambatan baharu tersebut.

(Pilih mana-mana tiga)

Soalan 4:
Bagaimanakah pelembapan bagi suatu sistem ayunan dapat diatasi dengan resonans?

Jawapan:
Pelembapan ialah pengurangan amplitud suatu sistem ayunan akibat kehilangan tenaga. Semasa pelembapan berlaku, frekuensi ayunan adalah kekal manakala amplitud ayunan berkurang.

Kesan pelembapan dapat diatasi dengan mengenakan daya luar berkala ke atas sistem yang sedang berayun. Tindakan daya luar yang berkala memindahkan tenaga ke dalam sistem ayunan itu untuk menggantikan tenaga yang hilang. Sistem ayunan yang dikenakan daya luar berkala dikatakan sedang melakukan ayunan paksa.

Leave a Comment